Sunday, October 31, 2010

perkara asas dalam membina keluarga..

Di dalam Islam, untuk membentuk sebuah keluarga yang baik, bukan difikirkan setelah pasangan teruna dara itu berumahtangga. Tetapi ia difikirkan sejak teruna dan dara itu masih bayi lagi.
Mengapa?
Ini kerana sumber didikan, sumber kasih sayang, sumber kebahagiaan, sumber keharmonian, sumber anak-anak boleh taat dan hormat kepada ibu bapa adalah berpunca dari sumber rasa takut dan cinta kepada Tuhan.
Sebab itu sejak kecil lagi mesti ditanam rasa takut dan cinta kepada Tuhan agar anak-anak nanti menjadi insan yang bertanggung jawab, amanah, jujur, berkasih sayang, pemurah, pemaaf, suka bertolak ansur, tolong menolong dan sebagainya.

Dari rasa takut dan cinta terhadap Tuhan yang diadun pula dengan syariat Tuhan, itulah modal untuk membangunkan sebuah keluarga. Dari situ pula menjadi modal terbangunnya sebuah masyarakat, seterusnya sebuah negara dan empayar di dunia. Kalau perkara yang asas itu tidak disiapkan sejak ia masih bayi lagi, tiba-tiba bila sudah ada keluarga baru hendak bertanggungjawab, bukan sahaja anak-anak dan isteri atau suami yang menjadi cabaran; itu merupakan cabaran yang kedua; tetapi cabaran yang pertama dan utama ialah diri sendiri.

Disebabkan tidak ada rasa takut dan cintakan Tuhan di dalam diri, kita sendiri gagal menjadi pemimpin, ayah atau suami, ibu atau isteri yang baik di dalam keluarga tersebut.
Mustahil seseorang boleh mencurahkan kasih sayang dan memberi kebahagiaan kepada orang lain sedangkan dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia. Mana mungkin seorang ayah hendak memberi kebahagiaan kepada anak-anak dan isterinya sedangkan dia sendiri pun tidak bahagia. Mana mungkin seorang pemimpin dapat memberi kebahagiaan kepada rakyatnya jika dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia. Sebab itu, kalau anak-anak yang menjadi masalah, bukan mereka yang harus dipersalahkan tapi kedua ibu bapa merekalah yang bersalah.

Kalau ada pasangan teruna dara yang hendak berkahwin, satu kesilapan yang besar jika mereka memikirkan perkahwinan hanya untuk menyelesaikan tuntutan fitrah (tuntutan biologi). Hampir 99.9 % yang hendak berkahwin hanya bertujuan untuk memuaskan tuntutan nafsu sahaja. Kasih sayang antara suami isteri yang lahir hasil dari tuntutan fitrah sahaja, ia akan luntur. Bila sakit, kurang menawan, kurang bertenaga dan sebagainya, maka akan lunturlah kasih sayang antara mereka. Si suami atau isteri akan mencari pasangan yang lain untuk menyempurnakan tuntutan fitrah mereka pula.

Kalau begitu, setiap pasangan suami isteri yang berkahwin mesti difahamkan tujuan dan matlamat mereka berkahwin. Berkahwin bukan semata-mata melepaskan tuntutan fitrah, tetapi mesti ada cita-cita untuk perjuangan Islam. Bila ada cita-cita ini, barulah kedua pasangan suami isteri akan bertanggungjawab terhadap satu sama lain serta dapat melaksanakan amanah mendidik anak-anak sejak kecil sepertimana yang digariskan oleh syariat Islam.

Barulah kita sedar sekarang sebenarnya masalah yang dibuat oleh anak-anak bukan berpunca dari diri mereka tetapi berpunca dari masalah kedua ibu bapa mereka yang tidak dididik secara Islam. Persiapan untuk membina keluarga Islam ini perlu dibuat dari awal lagi agar hasilnya benar-benar memberi hasil yang lumayan.

Umpama seorang petani yang hendak menanam padi. Tanpa disemai, dikawal, dijaga benih tersebut, mana mungkin boleh memberi hasil padi yang banyak. Ditakuti dapat padi tak berisi (sambang). Atau kerana tak dijaga, padi dimakan burung atau tikus.
Justeru itu pembinaan sebuah keluarga bahagia harus bermula dengan cita-cita Islam dan modalnya ialah rasa takut dan cinta kepada Tuhan.
petikan: jadikan Allah sebagai kecintaan paling agung mengatasi kecintaan yang lain.

No comments:

Post a Comment